terima kasih , anda yang ke ..

Sunday, 23 December 2012

kemanisan dalam ujian :)


Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.

Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.

Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.
Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)
“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).
Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.

- Gambar Hiasan
Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.
Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.
Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).
Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.
Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.
Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.
Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.
Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.
Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.

- Gambar Hiasan
Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.
Firman Allah: (maksudnya)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).
Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).
Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.
Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).

credit to @drmaza.com

salah guna nama ijmak ,,


Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservetif agama itu sendiri.

Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah ‘tidak laku’ atau menghadapi ‘tarikh luput’ di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai.

Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas.


-Sumber Rujukan
Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan.
Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama.
Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.
Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi ‘ijmak ulamak’. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama.
Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijma’. Kesan, membawa kepada kekufuran.
Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut ‘kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama’. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya “Pendapat ulama-ulama kita la..”. Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama.
Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijma’ atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma’ yang sebenar?
Takrif bagi perkataan al-Ijma’ ini di sisi majoriti ulama ialah
“Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak”. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).
Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.
Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman.
Maksudnya, para mujtahidin tanpa pengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak.
Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.
Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr ‘Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa ‘arus perdana’ atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.

- Gambar Hiasan
Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya.
Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira.
Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid.
Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut:
“Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma’ yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian.
Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak.
Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir .
Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja.
Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily:
“Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma’ (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: “Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu” (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).
Maka jika anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham.
Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

credit to @drmaza.com